KOTA KINABALU 20 Jan. - Polis Sabah menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menembak dan merosakkan 46 premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada malam 10 dan 11 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan pasukan khas yang menjalankan Ops Cermin bagi menyiasat insiden itu.
Katanya, dua daripada lima lelaki itu telah dibebaskan manakala tiga lagi masih ditahan reman.
"Kita juga telah merampas satu senapang angin, polis memandang berat kes seumpama ini. Ekoran kejadian ini, kita telah tubuh pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asistem Komisioner Omar Mammah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Hamza, pada mulanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, namun berdasarkan siasatan, pihaknya mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 32 (2) Akta Senjata Api 1960.
"Saya amat tertarik dengan kes ini kerana jika kita lihat, dia macam mempunyai satu cara nak datangkan kegusaran kepada masyarakat. bermula di Inanam, masuk ke Gaya Street, masuk ke kawasan Wawasan Plaza dan Times Square, kemudian dia masuk ke Luyang, ke Damai dan masuk ke Penampang," katanya.
Hamza berkata, polis akan menyiasat kes berkenaan dari semua sudut termasuk kemungkinan-kemungkinan lain dan tidak akan mengehadkan skop siasatan kepada kanak-kanak nakal seperti andaian kebanyakan orang selama ini.
Beliau juga berkata, polis akan membuka siasatan dan mendakwa mereka yang upload gambar-gambar kononnya kejadian tembakan itu dalam whatsApp ataupun mana-mana laman sosial.
"Kita telah mulakan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia," katanya. - BERNAMA
0 Komentar untuk "5 ditahan bantu siasatan kes tembak di Kota Kinabalu"