KOTA BAHARU: Subsidi minyak RM22.34 bilion yang diperuntuk kerajaan tahun ini adalah bantuan besar kepada rakyat Malaysia dan perkara ini tidak berlaku di negara lain, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata ini merupakan peruntukan kerajaan yang paling besar daripada keseluruhan pelbagai jenis subsidi berjumlah RM40bilion.
“Saya hendak jelaskan masih ada subsidi yang begitu banyak untuk bahan bakar iaitu RM22.34 bilion, subsidi itu diteruskan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab kelmarin.
Seminar itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ahmad juga berkata rakyat harus sedar apabila kerajaan mengurangkan subsidi sebanyak 20 sen bagi setiap liter petrolRON95 dan diesel, langkah itu bukan bermakna tiada lagi subsidi untuk bahan bakar itu.
“Ada lagi (subsidi) 80 sen untuk diesel dan 64 sen untuk petrolRON95 bagi setiap liter,” katanya.
Harga petrol RON95 selepas subsidi ialah RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.
Sementara itu, Mustapa berkata rakyat perlu memahami bagaimana kenaikan harga sesuatu barang berlaku terutama yang import kerana ia ditentukan oleh kadar pertukaran mata wang.
“Umpamanya bawang tidak ditanam secara komersial di Malaysia, bawang diimport dari India, dan apabila berlaku perubahan dalam kadar mata wang maka harga bawang juga ditentukan pada kadar pertukaran mata wang itu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memahami perasaan rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup serta harga barang dan berusaha mengatasi masalah itu.
- New Sabah Times
0 Komentar untuk "Subsidi minyak RM22.34b bantuan besar kepada rakyat, kata Ahmad Maslan"