KUCHING, Isnin — Lima lagi mayat mangsa tragedi bot panjang karam di Batang Lassa berhampiran Kampung Kut, Daro ditemui setelah pasukan mencari dan menyelamat memulakan operasi seawal jam 6.45 pagi tadi pada hari ketiga kejadian. Pegawai dari Bilik Operasi Media, Pejabat Penerangan Daerah Daro, Mat Sukarmi berkata, mayat yang ditemui terdiri daripada empat orang mangsa lelaki dan seorang mangsa wanita.
"Mayat mangsa pertama, Naibi Saibi, 63, ditemui pada jam 6.49 pagi oleh pasukan bomba yang 100 meter dari muara sungai Kampung Saai. Mayat mangsa kedua, Bolhan Berdan, 68, ditemui sejam kemudian oleh pasukan bomba juga pada jarak 50 meter dari jeti Sungai Kut. "Mayat mangsa ketiga, Kalsum Mat ditemui oleh penduduk kampung di Sungai Iran Badong manakala mayat mangsa keempat, Riji Dalol ditemui oleh pasukan polis marin di kawasan feri Kampung Kut pada jam yang sama iaitu 8.45 pagi. Mayat mangsa terakhir, Abu Bakar Mahli ditemui pada jam 5.30 petang pada jarak 600 meter dari Kampung Saai," katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Beliau menambah, kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk pengecaman oleh ahli keluarga. "Dalam pada itu, tiga jenayah dibawa balik ke Kampung Tekajong menggunakan bot hospital pada jam 2.30 petang manakala dua lagi mayat dibawa menggunakan bot Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
"Justeru, dua lagi mangsa masih hilang iaitu Ibong Rais dan Madini Akim. Kerja-kerja mencari dan menyelamat bergantung kepada keadaan cuaca. Semalam, operasi mencari dan menyelamat berakhir pada jam 6 petang manakala hari pertama pada jam 6.30 petang. Hari ini, operasi dan menyelamat berakhir pada jam 6.30 petang," ujarnya.
- Utusan Sarawak
0 Komentar untuk "Lima lagi mayat ditemui"