ONLINE NOW

Naik harga langkah terakhir: Peniaga

  • Naik harga langkah terakhir: PeniagaSabariah (kiri) dan dua pekerjanya sibuk menyediakan hidangan yang diminta pelanggan.
 1 / 1 
KUALA NERUS - Kenaikan kos pelbagai barangan sememangnya memberi bebanan cukup berat kepada golongan peniaga terutamanya yang mengusahakan makanan.

Maka tidak hairanlah kebanyakan peniaga bertindak menaikkan harga makanan supaya mampu mengembalikan modal, meskipun untung yang diperoleh tidak sama seperti sebelum ini.

Pemilik Warung Nasi Minyak Pok Awang dan Kak Yah, Bukit Datu, Sabariah Mohamad, 46, berkata, harga makanan yang dijual terpaksa dinaikkan baru-baru ini kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian.

“Antara menu paling laris di kedai saya adalah nasi minyak berlauk ayam yang sebelum ini dijual dengan harga RM3, tetapi terpaksa dinaikkan kepada RM3.50.

“Selain itu, harga minuman juga turut dinaikkan iaitu nescafe tarik RM1.50 berbanding RM1.30 sebelum ini, namun harga minuman yang saya kenakan tidaklah keterlaluan kerana naik antara 20 sen hingga 30 sen,” katanya.

Menurut Sabariah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yah, meskipun harga makanan di warungnya dinaikkan, jumlah pelanggan yang datang tetap sama seperti sebelumnya.

“Alhamdulillah, pelanggan setia tetap juga datang kerana kuantiti dan rasa juadah yang dijual saya kekalkan,” katanya yang sudah hampir 13 tahun mengusahakan warung berkenaan.

Sabariah berkata, masyarakat tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada peniaga yang bertindak menaikkan harga makanan kerana itu adalah sumber pendapatan mereka.

“Sebagai peniaga yang bertanggungjawab, kami tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan.

"Namun dalam keadaan peningkatan kos barangan ia merupakan jalan terakhir yang diambil kerana tidak mampu lagi menampung bebanan,” katanya.
-Sinar Harian
0 Komentar untuk "Naik harga langkah terakhir: Peniaga"

 
Copyright © 2014 Berita Gempak - All Rights Reserved
Template By Catatan Info